Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Hernie Suliana Haji Othman
BEIJING, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Selasa, 12 Mei. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, petang ini berkenan berangkat ke Majlis Perjumpaan bersama Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping.
Semasa majlis perjumpaan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah mengetengahkan persahabatan yang erat dan telah sekian lama terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China, yang telah lama wujud sebelum tertubuhnya hubungan diplomatik, dan dipupuk melalui kaitan sejarah yang terus mengikat kedua-dua negara bersama.
Republik Rakyat China kekal sebagai rakan kongsi teguh Negara Brunei Darussalam, dan dikukuhkan lagi oleh kerjasama erat dalam perdagangan dan pelaburan serta pertukaran lawatan peringkat tinggi yang aktif.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota menegaskan bahawa Strategic Cooperative Partnership ke arah masyarakat Brunei-Republik Rakyat China yang mempunyai masa depan yang dikongsi bersama, yang telah dipersetujui pada tahun 2025, adalah bukti visi dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Presiden Xi Jinping dalam membina rasa saling mempercayai dan menghormati yang lebih mendalam.
Lawatan Rasmi ini bermakna kerana kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik pada tahun ini, ke arah membina hubungan yang lebih erat dan asas yang kukuh untuk meningkatkan pertukaran dan usaha kerjasama.
Menegakkan sistem pelbagai hala yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan kekal kunci untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran jangka panjang. Sehubungan itu, Duli Yang Teramat Mulia menzahirkan komitmen Negara Brunei Darussalam untuk bekerjasama rapat dengan Republik Rakyat China dalam menangani cabaran-cabaran tersebut secara konstruktif dan berkoordinasi.
Sokongan Republik Rakyat China, termasuk melalui Hubungan Dialog ASEAN-Republik Rakyat China terus memberikan manfaat yang besar di rantau ini. Walaupun sudah lima tahun berlalu sejak Hubungan Dialog tersebut dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif semasa Brunei Darussalam menjadi pengerusi ASEAN pada tahun 2021, Perkongsian ini terus memberikan manfaat yang konkrit kepada rantau ini.
Pada mengakhiri sabda, DYTM mengucapkan tahniah kepada Presiden Xi Jinping atas penganjuran Sidang Kemuncak APEC di Republik Rakyat China pada bulan November 2026 dan menyampaikan sokongan padu dan ucapan selamat maju jaya daripada Negara Brunei Darussalam dalam persiapan mereka.